Coretan Tentang Hati

Ahad, November 04, 2012 Haiyum Haffiz 0 Comments



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”.



Hari ini aku menangis lagi..sebab yang aku sendiri pun tidak tahu. Perasaan yang datang tiba-tiba ini benar-benar mengusutkan. Sedar aku, fikiran ini masih lagi dihantui tentang dia. Astaghfirullahalazim, kenapa hati ini masih merindui dia? Aku fikirkan, hati ini sudah cukup kuat untuk melupakan dia..namun aku salah. Ya Allah, aku tak berniat untuk memikirkan dia lebih dari-Mu. Maafkan aku..tapi aku sendiri tak memahami emosi aku saat ini. Benarkah aku masih menyayangi dia? Hanya Engkau yang tahu tentang apa yang sedang terjadi..aku cuba meyakinkan, aku sudah punya pengganti. Ya, seseorang yang dapat merawat luka di hati aku. Seseorang yang aku anggap sudah cukup mampu untuk membahagiakan aku. Seseorang yang tulus menyayangi aku..tapi mengapa, ya Allah? Aku mesih belum mampu menyingkirkan kenangan lalu dari hidup ini. Aku dan dia masih lagi berkawan, tapi hati aku sebenarnya masih menyayangi dia seperti dulu.




Dia yang berbeza dari semua orang yang pernah aku kenali, bukan seorang yang pandai bermain kata. Bukan seorang yang tahu bermanja, jauh sekali mengucapkan ayat-ayat yang menyentuh jiwa. Apa yang aku nampak, dia hanyalah seorang yang melahirkan suara hati dengan jujur adanya walaupun menyakitkan hati. Aku akui, sikapnya yang agak kasar kadang-kala membuatku agak menyampah. Anggapanku, dia tidak tahu menjaga hati dan perasaan orang lain. Pernah juga dia buat aku menangis kerana sikapnya yang endah tak endah tentang aku. Aku yang terlalu merindukan dia, menangis semahu-mahunya apabila dia langsung tidak mempedulikan panggilan telefonku. Ya Allah, aku rasa berdosa kerana bertindak sedemikian rupa. Aku berdosa kerana gagal mengawal emosi, padahal aku tahu rindu yang aku rasakan pada saat itu bakal hanyut jika aku terus membiarkannya menguasai diri. Aku terasa berdosa kerana merindui seseorang yang tiada ikatan sah denganku.


Dalam diam, dia juga merindui aku. Tersangat merindui aku yang selalu menemaninya pada waktu malam, walaupun hanya mendengar suara. Aku dan dia sering kali berbual melalui telefon. Berkongsi tentang segala cerita tentang hidup aku, dan juga hidupnya. Minat pada genre muzik yang sama juga menjadikan kami lebih senang bercerita dengan rancaknya. Tetapi aku, selalu hilang kata-kata untuk berbicara. Kerana lidah aku kelu setiap kali mendengar suaranya, terasa laju jantung aku berdegup. Apa yang aku rasakan, aku pasti tiada berselindung nafsu di sebalik perasaan berdebar itu. Dia bukanlah seorang yang bersuara memujuk rayu, malah tutur bicaranya juga menggambarkan bahawa dia seorang yang ‘bercakap tanpa lapik’. Selama mengenali dirinya, tidak pernah aku dengar dia meluahkan kata-kata yang romantik. Terus-terang, aku tertarik pada dirinya bukan atas dasar nafsu. Namun peribadinya yang agak perahsia, membuatku ingin mengetahui lebih lagi segalanya tentang dia.




Ya Allah, aku semakin rasa bersalah kerana membiarkan fikiranku dihantui dia. Masih lagi aku ingat, saat dia melepaskanku pergi. Dia akui dirinya yang tidak sesempurna orang lain, membiarkan aku melangkah pergi kerana dia tidak mampu menceriakan aku. Dia cuma tahu membuatku menitiskan airmata, itulah alasannya. Hubungan yang tiada ikatan rasmi, namun sangat istimewa bagi aku. Aku tahu, ikatan yang bernama ‘kekasih’ adalah haram. Malah aku sendiri pernah terbaca, ‘Haram bagi seorang lelaki mengambil seorang wanita sebagai kekasih melainkan dengan niat untuk mengahwininya’.



Aku sememangnya agak kagum dengan gaya pemikirannya. Dia bukanlah seorang yang berkarisma ataupun memiliki perwatakan lelaki idaman setiap gadis. Dia tidak mudah menyuarakan tentang isi hatinya terhadap seseorang. Dia akan memendam perasaaan sehingga aku sendiri selalu berteka-teki terhadap perasaan dia terhadap aku. Jika satu kali dia mengakui bahawa perasaan dia terhadap aku adalah benar, dia tidak akan mengulanginya untuk kali kedua dan seterusnya. Aku tahu, dan juga sedar caranya itu dapat menghindarkan aku jauh daripada perbuatan berunsur maksiat. Di sebabkan sikap yang selalu memendam itu jugalah menyebabkan aku selalu rasa, diri aku tiada erti baginya. Sedangkan dalam hatinya, hanya aku perempuan yang selalu dia fikirkan. Atas ego aku sendiri, aku kurang yakin tentang perasaan dia. Akhirnya dia sendiri kurang keyakinan untuk membahagiakan aku.




Ya Allah, mengapa aku masih lagi memikirkan tentang dirinya saat ini? Adakah aku telah menyayangi dia sepenuh hati aku? Ya Tuhan, kuatkanlah iman dalam diriku. Semoga aku mampu menangkis segala perasaan yang boleh membangkitkan rasa hanyut dalam emosi. Alunan zikirmu tidak henti-henti berbisik ke telingaku ini, dengan harapan hati ini semakin tenang. Ya Allah, dengan cara apa lagi yang harus aku lakukan untuk melenyapkan rasa rindu ini padanya? Aku terlalu lemah untuk melawan perasaan ini, maafkan aku. Susah untuk aku teruskan hari-hari yang berlalu tanpa dia, sedangkan aku sudah terbiasa dengan kehadirannya dalam hati aku. Aku sangka, aku dapat menukarkan rasa sayang ini hanya sebagai kawan. Ternyata aku hanya menipu diri sendiri. Semakin aku cuba menjauh, semakin pedih. Sehingga berat untuk aku menelan kebenaran, aku sememangnya masih menyayangi dirinya. Ya Tuhanku, maafkan aku kerana memiliki perasaan dan hati selemah ini. Aku tak mampu, maka bantulah aku. Bantu aku untuk jatuh cinta sedalam-dalamnya pada-Mu lebih daripada cinta pada manusia.


 Aminn ~

Mentosberangin
aqdanmusic_94@yahoo.com

You Might Also Like

0 ulasan: