Jaulah Ke Selatan Thailand (KL - Tak Bai - Narathiwat)

Sabtu, September 22, 2012 Haiyum Haffiz 0 Comments


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

                                “Musafir kerana Allah”. 



Ayat itulah yang mula-mula saya coretkan di buku catatan yang dibawa ketika berjaulah ke Selatan Thailand baru-baru ini. Ia perjalanan yang ditekadkan bersungguh-sungguh walaupun dirancang dalam masa yang singkat. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya sejak awal. Rancangan yang mulanya di dalam fikiran diterjemah melalui perjalanan yang menjanjikan ibrah dan pengalaman. Di temani seorang sahabat, perjalanan hampir 800 km melalui jalan darat ini saya tempuhi.

 Perjalanan saya bermula dari KL Sentral pada 22/8/2012 bersamaan 4 Syawal 1433 Hijrah. Usai solat Maghrib jamak bersama Solat Isyak di Surau KL Sentral, saya menaiki Keretapi Tanah Melayu Ekspres Senandung Wau di Platform B. Destinasi saya adalah ke stesen terakhir iaitu stesen Tumpat, Kelantan Darul Naim. Tepat jam 8.30 malam, keretapi mula bergerak perlahan sebelum menambah kelajuan menuju ke stesen Gemas dan stesen-stesen berikutnya. Keputusan menaiki keretapi sengaja diambil walau memakan masa yang lebih panjang berbanding menaiki bas. Ini kerana saya ingin merasai pengalaman melihat pemandangan kawasan kampung dan pedalaman sepanjang laluan keretapi. Pengalaman merasai qiam, solat subuh, menikmati hidangan di café dan berbincang tentang rancangan perjalanan di atas keretapi yang sedang bergerak juga merupakan pengalaman yang mencuit hati apabila dikenang semula.



Saya tiba ke Stesen Keretapi Tanah Melayu Tumpat agak lewat iaitu sekitar jam 12.30 Tengah hari pada 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah. Namun begitu, perjalanan selama 16 jam tidak terasa meletihkan kerana keterujaan untuk meneruskan perjalanan. Saya meneruskan perjalanan ke Pos Imegresen Pengkalan Kubur dengan menaiki kereta sewa. Jarak perjalanan dari Stesen KTM Tumpat hanya mengambil masa kira-kira 15 minit. Selepas urusan pasport selesai, saya menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Kolok menuju ke Tak Bai, Thailand dengan tambang RM 1.00. Setelah tiba di wilayah Tak Bai, saya terus menuju ke stesen imigresen Thailand. Bezanya dengan sebelah Malaysia, lokasi imigresen di Tak Bai ini hanyalah sebuah bangunan kayu yang dibina untuk sementara dan tempat mengisi borang kemasukan ke Thailand ini lebih menyerupai sebuah pondok panas di Malaysia.

Saya mengambil kesempatan petang di Tak Bai atau juga di kenali sebagai Ta ba oleh penduduk tempatan dengan menikmati makanan tempatan dan melihat-lihat barangan yang begitu murah di sekitar Pasar Tak Bai. Untuk mendapatkan makanan halal, sememangnya tiada masalah. Gerai makanan melayu di mana-mana. Bagi penggemar makanan, pasti anda akan berpuas hati dengan rasa dan harga yang ditawarkan oleh peniaga gerai makanan di Pekan Tak Bai ini. Di sini juga saya mendapati hampir semua penduduk tempatan yang berniaga merupakan orang Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dengan dialek Kelantan. Oleh itu, tiada kesulitan untuk bercakap dengan mereka walau ada sedikit kejanggalan kerana dialek yang berbeza antara kami. Di sini juga matawang ringgit atau dipanggil penduduk tempatan sebagai “kok” juga masih boleh digunakan. Oleh itu, jika anda hanya ingin melawat sekitar Tak Bai, anda tidak perlu menukarkan Ringgit Malaysia kepada Bath Thailand. Nilai RM 10.00 di sini di kira bersamaan 100.00 Bath. Kepada pengembara yang hendak berjimat, anda tidak perlu menukar wang di kaunter tukaran wang asing kerana sedikit caj akan dikenakan.

Pagi 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah merupakan hari yang cerah dan indah. Hari ini adalah hari kedua sayadi Tak Bai. Selepas bersarapan di chalet, kembara diteruskan dengan membuat lawatan di hadapan Balai Polis Tak Bai menaiki teksi motor.
Balai Polis Tak Bai merupakan antara lokasi penting dalam kembara ini. Di hadapan Balai Polis Tak Bai inilah peristiwa Berdarah Tak Bai atau dikenali sebagai Tak Bai Massacre berlaku. Peristiwa berdarah yang berlaku pada 25 Oktober 2004 ini terjadi di dalam bulan Ramadhan. Peristiwa ini berpunca dari kehilangan 4 laras senjata api milik pihak keselamatan Thailand. Menurut Pak Cik Mat iaitu pemandu teksi motor yang membawa saya ke lokasi ini, dia memberitahu enam orang penduduk tempatan telah ditahan secara tidak sah oleh pihak polis atas sebab ini. Sedangkan, penduduk tempatan tidak terlibat langsung dengan kehilangan 4 laras senjata api tersebut.
Bagi menunjukkan protes dan rasa tidak puas hati atas tindakan polis menahan penduduk tempatan, ratusan penduduk tempatan melakukan demonstrasi di hadapan Balai Polis bagi menuntut pembebasan rakan mereka. Namun begitu, tindakan ini dibalas dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup. Peristiwa berdarah ini menyaksikan ratusan orang melayu Islam dipukul, disepak, dipijak dan diseret sebelum di bawa menaiki trak tentera sebelum di bawa ke pusat tahanan tentera di Pattani. Dalam peristiwa ini, 84 orang telah terbunuh. 7 disahkan terbunuh ditembak ketika melarikan dan bakinya maut akibat sesak nafas dalam perjalanan ke kem tentera di Pattani akibat di bawa secara bertindih-tindih di dalam trak manakala ratusan yang lain di tahan.

Sebagai renspon terhadap peristiwa itu, perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawarta (Kini telah dijatuhkan dengan rampasan kuasa oleh tentera selepas kemelut politik di Thailand) dengan biadap menyokong tindakan tentera, dengan mengatakan bahawa orang-orang Islam ini terbunuh “Kerana mereka sudahpun lemah sebab berpuasa di bulan Ramadhan”.

Ketika tragedi ini berlaku, saya masih di bangku persekolahan. Namun mengikuti perkembangan tragedi ini di dada akhbar pada ketika itu cukup mengguris emosi saya sebagai seorang muslim. Apabila berdiri dan menyaksikan sendiri lokasi berlakunya peristiwa ini, ibarat menyaksikan secara langsung suasana pilu suasana yang berlaku pada hari tersebut. Seakan-akan terjadi di hadapan mata tidakan tidak berperikemanusiaan tentera dan polis mengheret saudara-saudara seakidah dengan kita, tubuh mereka dipijak dan dihenyak malah sebahagian dari mereka yang melarikan diri dengan terjun ke tebing sungai di tembak mati.

Akibat dari peristiwa berdarah ini, wilayah selatan Thailand yang sudah sedia panas bergolak semula. Penduduk tempatan ada yang membalas. Pengeboman berlaku lebih kerap di daerah selatan sehingga ke Narathiwat,Yala dan Pattani. Tembak menembak berlaku. Umat Islam yang sedang solat di dalam masjid ada yang ditembak ketika solat berjemaah malah imam di bunuh dalam perjalanan ke masjid. Sehingga hari ini, wilayah ini belum sepi dari rasa curiga antara pihak kerajaan dengan penduduk tempatan.

Dalam kesempatan berbual bersama Pak Cik Mat, beliau memberitahu saya bahawa 6 orang saudaranya terbunuh dalam peristiwa Tak Bai. Ahli keluarga mereka yang masih hidup, ramai yang bangkit menuntut bela dengan menyertai pihak pejuang. Sebahagian masih di Thailand. Sebahagian melarikan diri ke sempadan.

Pada jam 10 pagi, saya meneruskan perjalanan menaiki teksi ke wilayah Narathiwat. Wilayah ini adalah wilayah bersebelahan dengan wilayah Tak Bai. Sepanjang perjalanan ke Narathiwat, saya berkesempatan berbual bersama Abang Rahim, iaitu penduduk Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga dalam perjalanan ke Narathiwat bagi melawat saudara-mara beliau yang berada di sana. Kehadiran beliau, adalah bantuan dari Allah. Doa yang saya panjatkan agar perjalanan ini dipermudahkan telah dikabulkan. Beliaulah yang kemudiannya mencadangkan penginapan yang terdekat dengan Bandar Narathiwat malah membantu dan menemani saya sepanjang saya berada di sini.

Benarlah hadith baginda nabi SAW yang bermaksud:

“Tiga doa yang sangat mustajab; doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir” (Riwayat Al Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Al Tirmizi) 


Selesai urusan “check ini” di Hotel Pasifik dengan bayaran 500 bath atau RM 50.00, saya mengambil keputusan untuk bersolat Jumaat di Masjid Al Jam’iyah memandangkan kedudukannya yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari penginapan. Ketika khutbah di bacakan, saya begitu teruja apabila mendengar khatib membaca khutbah dalam bahasa melayu malah dengan dialek yang lebih mudah difahami. Intipati khutbah juga sangat menarik iaitu memfokuskan mengenai kepentingan menjaga silaturrahim dan ukhwah sesame Umat Islam. Mungkin sempena menyambut kedatangan syawal yang masih diraikan. Bersolat di Masjid ini, menjadikan saya berasa seolah-olah masih berada di negara sendiri.

Usai solat, saya mengambil kesempatan berehat sebentar sehingga waktu asar. Kira-kira jam 5 petang, Abang Rahim datang bersama sepupu beliau, Rusydi datang menjemput saya dengan kereta milik Rusydi. Rancangan awal, mereka bercadang untuk membawa saya melawat Masjid Telok Manok atau lebih dikenali sebagai Masjid 300 tahun. Masjid ini punya keunikannya yang tersendiri dengan binaannya yang tidak menggunakan walau sebatang paku selain kecantikan senibina dan sejarah di sebalik penubuhannya. Rusydi merupakan anak jati kelahiran Narathiwat dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia. Agak melucukan juga apabila perbezaan dialek antara kami menjadikan sebahagian pertuturan beliau gagal difahami oleh saya dan pertuturan saya juga tidak difahami oleh beliau sedangkan kami masih menggunakan bahasa yang serupa. Mujur ada Abang Halim sebagai penterjemah.

Di wilayah Narathiwat ini, kebanyakan penduduk sama seperti di Tak Bai iaitu Melayu Islam. Tiada masalah untuk mendapatkan makanan halal di mana-mana. Bahasa yang digunakan juga masih bahasa melayu dengan dialek Kelantan. Antara tips mudah mencari makanan halal dan restoran melayu adalah pada pakaian dan bahasa mereka selain tanda-tanda di dinding kedai. Di wilayah ini, matawang ringgit atau “kok” tidak digunakan oleh penduduk tempatan seperti di Tak Bai. Bagi menukarkan wang, di sini tidak kedai khas menawarkan khidmat menukarkan mata wang asing seperti yang boleh dilihat di Malaysia. Walaubagaimanapun, penukaran boleh dilakukan di mana-mana kedai emas yang banyak terdapat di Narathiwat. Kedai-kedai emas di sini menawarkan khidmat penukaran wang asing dengan sedikit bayaran. Untuk RM 100.00 bagi penukaran kepada 1000 bath, saya dikenakan caj RM 2.00.

Perjalanan kami pada petang ini diiringi hujan yang turun renyai-renyai menjadikan cuaca sejuk dan dingin. Namun begitu, perjalanan ke masjid yang berusia lebih dari 300 tahun ini lancar dengan keadaan jalan yang lebar dan lurus tanpa kesesakan jalan raya. Sekatan dan pos kawalan pihak tentera yang berada di mana-mana juga dilepasi dengan mudah. Syukur perjalanan kami tidak di sekat. Sepanjang perjalanan melewati banjaran gunung diliputi kabus di sisi kiri kami menambahkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Ilahi. Panorama yang begitu indah dan mengasyikkan. Betapa indahnya ciptaan Allah bagi hamba yang mahu dan tahu bersyukur. Benarlah firman Allah di dalam Surah Al Hajj yang bermaksud:

“Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati di dalam dada” (Al Hajj:46) 

Kami tiba di kawasan masjid yang di bina pada abad ke 18 ini sekitar jam 5.30 petang. Ketika itu hujan masih renyai-renyai. Namun kami tidak melepaskan peluang untuk melihat keindahan senibina unik yang terdapat di dalam masjid ini. Lensa kamera tidak henti –henti di petik kerana tertarik dengan keunikan seni bina masjid ini yang di bina ratusan tahun dahulu. Seluruh kawasan masjid termasuk loteng kecil masjid yang begitu unik amat mengagumkan kami. Bagi sesiapa yang meminati seni ukiran kayu dan sejarah di sebalik masjid ini , lawatan ke lokasi ini adalah satu kemestian yang menjanjikan pengalaman luar biasa.

Tarikh 24/8/2012 bersamaan 6 Syawal 1433 Hijrah ialah hari terakhir saya di Narathiwat sebelum meninggalkan wilayah ini. Selepas solat subuh dan membaca Mat’surat, saya mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dengan berjalan kaki di sekitar Narathiwat. Saya memulakan langkah kaki menuju ke Sungai Bang Nara, yang terletak berhampiran dengan hotel kediaman. Di sini saya mengambil kesempatan untuk sekali lagi melihat kebesaran Allah dengan menikmati pemandangan matahari terbit di muara sungai sambil memerhatikan kapal-kapal nelayan yang baru pulang dari laut. Keadaan sungai yang bersih menjadikan anak-anak ikan yang bermain di gigi air jelas kelihatan sepanjang sungai ini. Bagi yang berminat dengan aktiviti pertandingan kayuh perahu, di sungai inilah saban tahun sekitar bulan September akan diadakan pertandingan kayuh perahu dikalangan penduduk tempatan dengan disaksikan oleh Raja Thailand iaitu Raja Bhumibol Adulyadej.

Selepas menikmati pemandangan di Sungai Bang Nara, saya ditemani seorang pak cik berusia sekitar pertengahan umur yang juga merupakan penduduk tempatan. Beliau begitu baik hati dan menawarkan diri untuk membawa saya bersiar-siar sekitar Bandar Narathiwat. Di bandar ini, saya dapat melihat suasana masyarakatnya yang sedang menjalankan aktiviti pagi hari. Agak tertarik apabila melihat pelajar-pelajar sekolah arab yang menaiki Tut-tut beramai-ramai menuju ke sekolah. Begitu juga melihat penduduk tempatan yang menaiki motosikal untuk berniaga dan menjalankan aktiviti harian mereka. Apabila melihat golongan tua menaiki motor sambil memakai kain pelikat dan serban, juga golongan ibu yang memakai pakaian begitu sopan dan menutup aurat menjadikan saya terasa seakan-akan berada di Kota Bharu, Kelantan.

Saya menyusuri perjalanan sepanjang kawasan Bandar Narathiwat dan menyeberangi Jambatan Saphan Predanaratasana menuju ke kawasan Pantai Narathiwat. Dari atas jambatan Saphan Predanaratasana ini juga jelas terlihat masyarakat tempatan yang menjalankan aktiviti penternakan ikan dan kawasan perkampungan nelayan. Di atas jambatan ini jugalah saya sedari bahawa di Narathiwat ini terdapat begitu banyak masjid yang di bina berdekatan antara satu sama lain untuk kemudahan penduduk. Dari atas jambatan ini, sudah pasti menara dan bangunan Masjid Pusat iaitu masjid terbesar di Narathiwat paling jelas kelihatan.

Selepas pulang dari bersiar-siar di sekitar Narathiwat, sayamengambil kesempatan untuk melihat aktiviti urus niaga penduduk tempatan di pasar narathiwat. Di kawasan ini jugalah sayamengambil kesempatan untuk menikmati makanan penduduk tempatan yang begitu lazat dan murah.
Perjalanan di Narathiwat di akhiri dengan lawatan ke Ao Manao – Khao Tanyong National Park bersama abang Rahim yang menemui saya ketika saya sedang leka menjamu selera. Sekali lagi saya berasa kagum dengan kecantikan hutan di Taman Negara Ao Manao – Khao Tanyong yang masih terpelihara dan pesisir pantai yang kehijau-hijauan. Bagi yang meminati aktiviti hutan dan pantai, lokasi ini adalah antara lokasi penting bagi menjalankan aktiviti lasak seperti jungle trekking, camping, memandu ATV dan menaiki bot di sepanjang pantai.

Melihat kecantikan pemandangan di sini, saya berasa hairan kerana sepanjang berada di Wilayah Narathiwat termasuk di kawasan Bandar, saya tidak bertemu walau seorangpun pelancong asing. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan kawasan lain di Thailand seperti di Danok, Hatyai, Phuket dan Bangkok. Mungkin para pelancong memilih lokasi yang lebih selamat kerana Wilayah Narathiwat ini merupakan wilayah bergolak. Kejadian letupan bom dan tembakan masih berlaku di wilayah ini. Tidak hairanlah setiap kali saya berkesempatan untuk berbual dengan penduduk tempatan, hampir setiap mereka yang saya temui akan bertanya: “Tidak takutkah datang ke sini?” Saya hanya tersenyum. Tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Risiko itu telah difikirkan dengan mendalam sebelum saya membuat keputusan untuk bertolak ke sana. Saya juga tahu letupan dan kejadian tembak-menembak masih berlaku di wilayah bergolak ini. Tapi hati telah dibulatkan untuk mengembara ke sana. Barangkali ini tarbiah buat diri untuk merasakan keindahannya tawakal sebenar-benarnya hanya kepada Allah SWT. Bukankah Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.” (QS At Taubah: 51)

Saya mengakhiri kembara pada tengah hari itu dengan menuju ke perhentian teksi sebelum berpisah dengan Abang Rahim dan seterusnya pulang ke Malaysia. Sungguh, kesempatan kembara di selatan Thailand adalah satu kenangan indah yang saya syukuri dengan sebenar-benarnya. Selamat tinggal saudara-saudaraku di sana. Semoga kelak kita dapat bertemu kembali dalam redha dan kasih sayangNya.


         ERTI KATA :
Jaulah: Kembara sambil mencari redha Allah.

Mus'ab Khalili Rosli@ Muzark khalil .
Penulis menamatkan persekolahan di Maahad Ihya Al Ahmadi, bekas penuntut Kolej Profesional MARA Beranang dalam jurusan Higher National Diploma in BIT dan kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda di Kolej Poly-tech Mara Ipoh dalam jurusan Multimedia in Computing.
Email : muzarkkhalil@gmail.com

You Might Also Like

0 ulasan: